Misi Kuruskan Zuly

Khamis, 5 Julai 2012

Tanya: Terpikat Dengan Lelaki Muda

Terpikat Dengan Lelaki Muda
SAYA menyukai seorang lelaki yang jauh lebih muda daripada saya. Saya bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah universiti tempatan dan mula tertarik dengan M yang sebenarnya pelajar saya.
Saya gemar melihat perilakunya yang penuh sopan dan sangat lemah lembut apabila berbicara.

Dia tampak lebih matang daripada usianya. Namun, memikirkan perbezaan usia hampir sembilan tahun, saya menjadi segan pada diri sendiri.

Wajarkah saya menyimpan perasaan sedemikian terhadapnya? Pelik juga memikirkan saya mudah tertarik dengannya, sedangkan saya bertemu pelbagai pelajar sebelum ini dan tidak pula pernah tersangkut.

Adakah ini jodoh saya atau kerana saya mula berasa sunyi menyebabkan saya mula menyukai dia kerana kami banyak menghabiskan masa bersama.

REEFA KHOLID
Subang Jaya, Selangor



JAWAPAN:
Cinta itu buta dan tidak mengenal rupa mahupun siapa. Itu ungkapan sesuai menerangkan situasi yang mana saudari tertarik dengan lelaki yang jauh lebih muda.

Realistiknya, saudari masih tidak dapat menerima hakikat jatuh cinta terhadap pelajar sendiri, menyebabkan saudari mencipta seribu alasan untuk menafikan perasaan itu.

Apa salahnya saudari berkelakuan ‘kelam disigi, lekung ditinjau’ yang bermaksud selidiki dulu persepsi atau penerimaan si dia sebelum membuat kesimpulan mengenai kemungkinan masa depan hubungan cinta saudari.

Namun, untuk mendapatkan kepastian, perlu diteliti dengan cermat supaya ia tidak memperlihatkan bahawa saudari begitu terdesak.

Antaranya, saudari boleh menggunakan bahasa tubuh menerusi pandangan mata mahupun senyuman berbeza bagi menggambarkan saudari berminat.

Selain itu, saudari boleh minta ‘orang tengah’ yang boleh dipercayai dalam menyampaikan maksud saudari berminat menjalin hubungan cinta dengannya.

Selain itu, jangan lupa memohon petunjuk sama ada si dia adalah jodoh yang Allah tentukan untuk saudari.


Sumber: Harian Metro Online

Tiada ulasan: